Wednesday, 14 December 2016

SEKSAAN ORANG YANG MEMINUM ARAK DAN TUAK.

🌺 Mengenai perbuatan meminum arak dan tuak ada beberapa sabda Nabi Saw antaranya Nabi Saw bersabda:
(Maksudnya):Allah Taala melaknati arak dan tuak,orang yang meminumnya,orang yang membelinya,orang yang menjualnya,orang yang memerahnya,dan orang yang membawanya.

 🌺Dan lagi sabda Nabi Saw:
(Maksudnya):Didatangkan pada hari kiamat orang yang meminum arak dan tuak dalam keadaan hitam mukanya,biru matanya,bengkok tulang rahangnya,mengalir air liur mulutnya dan lidahnya terjulur ke atas dadanya.Oleh itu kamu janganlah memberi salam kepadanya dan jangan menziarahinya apabila ia sakit dan jangan kamu sembahyang atasnya apabila ia mati kerana ia pada pandangan Allah Taala seperti orang yang menyembah berhala.Dan sesiapa yang meminum arak dan tuak,didalam dunia ini Allah Taala mengharamkan keatasnya minuman didalam syurga.
  

🌺Dan lagi Nabi Saw bersabda:(Maksudnya):Orang yang meminum arak dan tuak itu bila keluar  daripada kuburnya terlebih busuk daripada bangkai dan bekas arak itu digantungkan pada lehernya dan mangkuk tempat minum itu pada tangannya dan dipenuhkan antara kulitnya dan dagingnya itu beberapa ular dan kala dan dipakaikan kepadanya 2 kasut daripada api neraka,maka mendidihlah atas kepalanya daripada keduanya itu.

🌺Dan kuburnya itu menjadi satu lubang daripada lubang api neraka dan ia berserta dengan Firaun Dan Haamaan didalam api neraka yang terkebawah yang bernama Haawiyah.
 

🌺Dan riwayat daripada Siti Aisyah Radhia Allah Anha bahawa Rasulullah Saw bersabda:(Maksudnya):Sesiapa yang memberi minum atau memberi makan kepada orang yang meminum arak dan tuak satu suap daripada makanan,nescaya dikeraskan Allah Taala atas tubuhnya beberapa ekor ular dan kala untuk menggigitnya pada hari kiamat.

🌺Dan sesiapa yang menyampaikan hajatnya maka sesungguhnya orang itu menolongi atas meruntuhkan agama Islam.Dan sesiapa yang memberi hutang kepadanya satu dirham maka sesungguhnya orang itu telah menolongi atas membunuh orang yang mukmin.

🌺Dan sesiapa yang bersekedudukan dengannya Allah Taala menghimpunkannya pada hari kiamat sebagai membunuh tanpa hajat baginya iaitu tiada perpegangan yang melepaskannya.Dan sesiapa yang menghalalkan arak dan tuak, maka ia terlepas daripada aku dan aku terlepas daripadanay,kerana Allah Taala telah bersumpah dengan kebesarannya.

🌺Dan sesiapa yang meminum arak dan tuak didalam dunia ini nescaya ia tiada lagi meminumnya didalam akhirat nanti.Dan sesiapa yang meninggalkan meminumnya kerana ia takut kepada aku nescaya aku berikannya arak didalam syurga yang bernama 'Hadhirat Al-Quds'.Dan kata sesetengah ulama Allah Swt memberi minum kepada orang yang meminum arak didalam dunia ini dengan membalaskannya didalam neraka Jahannam satu tempat daripada api neraka yang menjatuhkan dua biji matanya dan daging mukanya,apabila ia meminumnya terputuslah segala isi perutnya dan terkeluarlah daripada duburnya.
 

🌺 Dan satu riwayat daripada Umaisy Radhia Allah Anhuma katanya;Aku mendengar Rasulullah Saw bersabda:(Maksudnya):Sesiapa yang meminum arak dan tuak tiada diterima sembahyangnya selama 7 hari.Jikalau hilang akalnya tiada diteriam daripadanya kebajikan 40 hari.Jikalau ia mati sebelum sampai 40 hari maka ia dalam maksiat.Dan jika ia bertaubat daripadanya Allah Taala menerima taubatnya.Jika ia kembali meminumnya Allah Taala akan memberi minum kepadanya danur orang yang didalam neraka.
 

🌺 Kata Abdullah Bin Mas'ud Radhia Allah Anhu;Apabila mati seseorang yang meminum arak dan tuak itu kemudian maka kamu tanamkannya kemudian kamu gali kuburnya maka jika kamu dapati mukanya tiada berpaling daripada kiblat maka kamu bunuhlah daku kerana sesungguhnya Rasulullah Saw bersabda:(Maksudnya):Apabila seseorang hamba meminum arak dan tuak 40 kali Allah Taala murkai atasnya dan disuratkan namanya di dalam sijil(iaitu buku daftar segala amalan orang isi neraka)dan tiada diterima daripadanya puasanya,sembahyangnya,sedekahnya,melainkan ia bertaubat kepada Allah Taala.
 

🌺Dan satu riwayat daripada Rasulullah Saw bahawa ia bersabda:(Maksudnya):Para malaikat mendahulukan orang yang berzina dan meminum arak dan tuak kedalam api neraka pada hari kiamat.Apabila hampirlah mereka itu kepadanya dan datanglah segala pintunya kepada mereka,Maka malaikat Zabaniyyah pun berhadaplah kepada mereka dengan beberapa tukul besi,ia memukul mereka dengan sebilangan hari dunia ini kemudian dipulangkan mereka itu kepada tempat mereka didalam neraka.Dan tiada satu anggota daripada anggotanya yang tinggal melainkan digigit oleh ular dan kala.

🌺Kemudian dijatuhkan kepalanya kedalam neraka 40 tahun belum sampai keneraka yang paling bawah, kemudian ia dijulang pula oleh nyalaan api neraka hingga sampai kepada suatu lapisan yang teratas kemudian beberapa malaikat Zabaniyah memukulnya maka ia jatuh kembali hingga sampai ke lapisan neraka yang paling bawah.
Seperti firman Allah Taala:
(Maksudnya):Setiap kali kulit mereka hangus kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain supaya mereka merasakan azab.(SURAH  AN-NISAA', AYAT 56).
(Kemudian mereka  berasa dahaga yang amat keras,maka mereka menyeru:Hai dahaganya aku!Maka datanglah malaikat Zabaniyah kepada mereka membawa suatu mangkuk air minuman daripada api neraka bernama Noor Ajamm yang mendidih dan menggelegak.

🌺Maka apabila diambil mangkuk itu,jatuhlah daging mukanya.Apabila ia meminumnya jatuhlah pula sekalian gigi gerahamnya.Apabila air itu sampai kepada perutnya maka putuslah segala isi perutnya,lalu keluar pada duburnya.Kemudian ia kembali pula seperti dahulunya.Inilah seksaan bagi orang yang meminum arak dan tuak.
   

🌺Dan lagi sabda Rasulullah Saw:(Maksudnya):Didatangkan orang yang meminum arak itu pada hari kiamat dalam keadaan arak tergantung pada lehernya dan kecapi pada tangannya hingga ia disula atas kayu daripada api neraka.Kemudian malaikat menyeru:Inilah si anu anak si anu yang meminum arak.Maka terbitlah daripada mulutnya bau busuk.Kemudian orang-orang di Padang Mahsyar melontarkannya,kemudian malaikat Zabaniyah melontarkannya dan membawanya kepada api neraka Jahannam.

🌺Maka tinggallah ia disana 1000 tahun lamanya.Maka ia memanggil pula:Hai dahaganya aku!Kemudian disuruh bawa kepadanya peluh didalam api neraka yang busuk, kemudian menghancurkannya hinggan menjadi abu.Kemudian Allah Taala menjadikannya manusia dan dibangkitkannya dalam keadaan terbelenggu kedua tangannya kepada tengkuknya dan kedua kakinya dirantai dan diheretkan rantai itu atas mukanya.

🌺Dan minumannya itu danur daripada api neraka yang bernama Hamim.Dan makanannya daripada Zaqqum iaitu kayu yang berduri daripada neraka.Kemudian dipakaikannya dua kasutnya daripada api neraka yang mendidih-didihkan otak sampai kepada telinga dan gerahamnya.Maka jatuhlah segala isi perutnya atas dua kakinya kemudian ditaruh didalam peti bara api neraka 1000 tahun lamanya didalam seksaannya.

🌺Peti itu sempit mulutnya dan mangalirlah nanahnya itu sambil berkata:Wahai Tuhanku!Api neraka telah memakan dagingku.Maka memang keraslah seksaan bagi orang yang meminum arak dan tuak,menangis tiada dikasihani dan ia memanggil pihak api neraka tetapi tiada jawapan.Kemudian ditaruhkan diatas kepalanya kupiah daripada api neraka,kemudian malaikat menaruhkannya kedalam Wadi Wail didalam neraka Jahannam.

🌺Wadi Wail adalah sebuah wadi yang amat keras kepanasannya dan terlebih banyak rantai dan ular besar dan kalanya.Maka tinggallah ia dalam wadi itu 1000 tahun lamanya.Kemudian ia menyeru dengan katanya:Wahai Muhammad.
 

🌺Maka Nabi Saw mendengar suaranya lalu ia bersabda:(Maksudnya):Wahai Tuhanku!Aku mendengar suara seorang lelaki daripada umatku didalam api neraka Jahannam.Allah Taala pula berfirman:(Maksudnya):Orang yang meminum arak itu ketika ia didalam dunia dia tiada bertaubat .

🌺Maka sabda Rasulullah Saw:(Maksudnya):Sesiapa yang ada didalam hatinya 100 ayat daripada kitab Allah Taala dan dituangkan arak,maka ia datang pada hari kiamat tiap-tiap huruf daripada Al-Quran itu membawa bicara dengan katanya:Aku bicara dihadrat Allah Taala,dan sesiapa yang bicara dengan Al-Quran maka orang itu sebenarnya telah binasa.
SUATU CERITA.
 

🌺Dan satu riwayat yang diceritakan daripada Abdullah Al-Uzair Al-Madani katanya:Pada suatu hari aku telah pergi ke sebuah masjid,maka tiba-tiba aku dapati beberapa orang perempuan sedang menangis ditengah jalan.Maka aku bertanya:Apa khabar engkau wahai orang-orang perempuan!Maka mereka menjawab:Pada kami ada seorang lelaki yang sakit yang hampir mati.Kami telah menyuruhnya berulang kali supaya ia mengucap kalimah syahadah maka ia tidak mengatakannya.

🌺Dan aku ulang-ulangnya kemuudian ia membuka kedua matanya lalu mengatakan kalimah kafir dan melepaskan dirinya daripada agama Islam.Kemudian keluarlah nyawanya maka matilah ia.Kemudian aku pun keluar daripada rumahnya dan aku panggil sekalian orang yang ada di situ:Wahai sekalian keluargaku dan sanak saudaraku!Janganlah kamu sembahyangkannya dan janganlah kamu tanamkannya pada perkuburan orang Islam,kerana sesungguhnya ia mati dalam keadaan kafir.

🌺Dan aku bertanya isi rumahnya bagaimana keadaan amalan orang itu.Maka mereka menjawab:Kami tiada mengetahui sesuatu dosa baginya melainkan ia meminum arak dan tuak.Maka dihilangkan oleh Allah Taala imannya sebab minum arak dan tuak.
 

🌺Dan satu riwayat Rasulullah Saw bahawa ia bersabda:(Maksudnya);Apabila bertaubatlah seseorang hamba,selepas bertaubat ia mati,maka beberapa malaikat membawa rohnya naik kelangit.Maka para malaikat itu berkata:Wahai Tuhanku!Inilah hambamu si anu.Sesungguhnya ia telah ingat daripada kelupaan dan kelalaiannya pada firmanmu.Dan ia telah berdiri pada hadratmu dan merendahkan dirinya dalam keadaan menangis dan mengakui dosa dan kejahatannya.

🌺Maka Allah Taala berfirman:(Maksudnya):Wahai sekalian malaikatku!Hiasilah langit bagi kedatangan nyawa orang yang menyesal daripada dosanya dan bukalah pintu taubatnya kerana aku menerima taubatnya,kerana bahawasanya nyawa orang yang taubat itu apabila ia taubat terlebih mulia padaku daripada 7 lapis bumi dan 7 lapis langit.

🌺Dan apabila ia mengekali taubatnya dan ia berdiri didalam berbuat khidmat dan ketaatan,Aku gantikan suratan kejahatannya itu dengan kebajikan.
 

 🌺Dan lagi Hadis Ibnu Umar Rasulullah Saw bersabda:(Maksudnya):Allah Taala melaknati arak dan tuak dan orang yang membuatnya,orang yang memerahnya,orang yang meminumnya,orang yang memberi minumnya,pembawanya,orang yang disuruh membawanya,orang yang menjualnya,orang yang membelinya,dan orang yang memakan harganya.
 

 🌺Dan lagi sabda Rasulullah Saw:(Maksudnya):Sesiapa yang meminum benda-benda yang memabukkan Allah Taala tiada menerima sembahyangnya 40 hari,jika ia taubat Allah Taala akan menerima taubatnya.Maka sesiapa yang meminumnya 2 kali benda yang memabukkan Allah Taala tiada menerima 80 hari jika ia bertaubat daripadanya maka Allah Taala menerima daripadanya.
 

🌺Dan  kata Sayidina Usman Bin Affan Radhia Allah Anhu:Jauhilah arak!kerana bahawasanya seorang lelaki pada umat nabi dahulu kala adalah seorang yang banyak ibadatnya dan menjauhi diri daripada manusia,maka bertemu dengan seorang perempuan yang jahat yang menyuruh hamaba sahayanya yang perempuan pergi berjumpa dengannya.

🌺Maka katanya:Aku jemput engkau datang kerumah kami.Maka ia datang bersamanya.Maka ia masuk dengannya menerusi satu pintu kemudian ia menutupnya.Mereka terus masuk hingga sampai kepada perempuan itu padanya ada budak lelaki muda dan satu magkuk berisi arak.

🌺Maka katanya:Aku panggilkan engkau supaya engkau berzina dengan aku atau engkau bunuh budak ini atau engkau minum arak ini.Maka lelaki ini memilih untuk meminum arak daripada berzina dan membunuh budak itu.Kerana tiap-tiap satu daripada keduanya itu terlebih besar dosanya daripada meminum arak.

🌺Maka tatkala ia meminum arak itu ia terus mabuk,lalu dia melakukan perzinaan dengan perempuan itu dan membunuh budak itu.Sebab itulah dinamakan meminum arak itu ibu segala maksiat.Fikir-fikirlah wahai sekalian sanak saudara yang beriman.

🌺Tatkala lelaki itu meminum arak ia melakukan dosa yang lebih besar lagi iaitu berzina dan membunuh orang.Maka jauhilah arak itu,kerana sesungguhnya ia tiada sekali-kali berhimpun dengan iman selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment