Saturday, 8 April 2017

BATASAN IPAR DUAI

🌹SI abang ipar mengusap-usap kepala adik ipar perempuannya yang sudah baligh, seronok bergurau senda dan bergelak ketawa bersama si kakak dan seluruh ahli keluarga. Gambaran ini bukan aneh, malah tidak keterlaluan dikatakan sebagai kebiasaan dalam masyarakat kita. Malah, ia menjadi janggal dan sangatlah pelik pula jika individu wanita yang baru menjadi ahli dalam sesebuah keluarga mengehadkan batas pergaulan dan menutup aurat apabila bersama mereka. Ayat-ayat seperti: “Akak pakai tudung dan berbaju lengan panjang ni, tak panas ke?”. Ada juga yang mengata di belakang: “Nak tunjuk alimlah tu,”.

🌹Senario begini dilihat sebagai biasa dalam masyarakat Islam hari ini, walaupun hakikatnya, ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan wanita dalam kalangan ipar duai sangatlah dilarang dalam Islam. Jadi seseorang Muslim itu perlu memahami maksud ikhtilat dengan sebaiknya.

              
              🍀 Fahami maksud ikhtilat. 🍀

🌹Ikhtilat dari segi bahasanya bermaksud pertemuan, perjumpaan dan penyertaan. Manakala, istilah syarak pula bermaksud pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.Seorang pendakwah,  menjelaskan, ikhtilat adalah perkataan baru dalam konteks ini kerana pada asalnya ia digunakan untuk dua bahan yang bercampur lalu membentuk unsur baharu, seperti air bercampur dengan serbuk milo dan gula, maka akan menjadi air milo. Tiga unsur asal sudah tidak boleh dikenal pasti kerana telah membentuk unsur baharu iaitu air milo. Tetapi perkataan ini digunakan untuk pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, seakan-akan unsur asal lelaki dan perempuan tidak dapat dibezakan lagi. Menurutnya, dalam Islam jika pergaulan di antara lelaki dan wanita tidak melanggar batas syarak, ia diharuskan seperti kerana menuntut ilmu. Manakala jika melanggar batas syarak, ia dilarang sama sekali. Jadi terdapat ikhtilat yang disyariatkan dan terdapat juga ikhtilat yang dilarang.

🌹"Antara ikhtilat yang disyariatkan ialah percampuran yang mempunyai hajat dan patut dilakukan, iaitu ada perkara yang perlu melibatkan kaum lelaki dan perempuan, menyebarkan dakwah yakni dengan menyeru kebaikan dan menghindari kemungkaran, menghadiri sebarang jemputan seperti walimatul urus dan lain-lain, dalam bidang perubatan, tunaikan haji dan umrah. "Ikhtilat yang dilarang atau ghoiru syarie pula adalah percampuran yang boleh mencemarkan maruah lantas menimbulkan fitnah seperti perhubungan antara lelaki dan perempuan di tempat sunyi, bercanggah dengan adat dan adab etika Islam seperti bergurau senda secara berlebih-lebihan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, bukan berhajat (tidak mempunyai sebarang hajat yang perlu melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan), tidak ikut adab Islam dan tidak mengasingkan tempat antara lelaki dan perempuan," ujarnya.

🌹Beliau berkata, begitu jugalah perihalnya dengan ikhtilat dalam kalangan ipar duai. Seseorang Muslim itu perlu menjaga batas pergaulan dalam sesebuah keluarga yang besar contohnya saat bersama ipar duai. Ini kerana dibimbangi jika berlaku ikhtilat yang dilarang. Buruk akibatnya kalau selalu lihat aurat si adik, tidak mungkin tidak terdetik sesuatu dalam perasaan, apatah lagi jika figura tubuhnya menggiurkan si lelaki (abang ipar), jangan pula perhubungan yang sedia elok jadi goyah hanya kerana ikhtilat yang dilarang. RAMAI yang bertanya, kenapa kita sebagai umat Islam perlu menjaga ikhtilat? Adakah dengan tidak menjaga ikhtilat akan wujudnya pergaulan bebas sekali gus menyebabkan zina?

                  🍀  Perintah ALLAH 🍀

🌹Seorang  Pensyarah  dari  Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, menegaskan bahawa pentingnya kita menjaga ikhtilat kerana ia adalah perintah ALLAH SWT. "Menerusi Surah An-Nur, ALLAH memerintahkan golongan lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan serta kemaluan masing-masing. Ini adalah isyarat kepada kewajipan menjaga ikhtilat terutamanya yang dilarang. Ini kerana faktor biologi lelaki dan perempuan itu sendiri yang saling menarik di antara satu sama lain. Maka syariat Islam datang untuk mengurus fitrah ini agar tidak terbabas daripada fitrahnya. "Ya, ikhtilat yang tidak dijaga boleh membawa kepada zina yang diharamkan, kerana lelaki dan wanita ini telah ALLAH jadikan saling ingin mengingini antara satu sama lain. Sebab itu ALLAH menyebut dalam al-Quran dengan lafaz "Janganlah kamu dekati zina". Maksudnya semua jalan yang boleh membawa zina adalah haram termasuk pergaulan bebas atau ikhtilat yang sedang kita perkatakan. "Melihat kepada situasi ipar duai ini. Perhubungan ipar duai adalah mahram sementara sahaja, iaitu selagi masih berstatus ipar. Apabila suaminya (abang kita) meninggal contohnya atau menceraikannya maka bekas kakak ipar ini boleh berkahwin dengan kita selepas tamat idahnya. "Oleh itu hukum-hakam mahram sementara ini tidak sama dengan hukum-hakam mahram yang kekal selama-lamanya, iaitu dari aspek aurat, auratnya sama seperti ajnabi (bukan mahram) iaitu wajib ditutup, tidak boleh didedahkan serta tidak boleh dilihat.

🌹Apabila bersentuh kulit tanpa lapik di antara seseorang lelaki dan kakak iparnya, maka batal wuduk sebagaimana dalam Mazhab Syafie. Begitu juga dari aspek bersalam, ia tidak diharuskan. Juga tidak dibenarkan untuk bersekedudukan atau berdua-duaan tanpa ditemani mahram yang lain,"Selain itu, apabila seseorang Muslimah berdepan dengan iparnya, perlulah ingat akan pesanan Nabi Muhammad SAW dalam Sahih Al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir: "Jauhkanlah diri kamu masuk (bercampur) dengan perempuan. Seorang lelaki Ansar bertanya: Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu mengenai ipar?" Nabi SAW menjawab: "Ipar adalah maut. Begitulah juga sebaliknya, iaitu Muslimah dengan abang iparnya. Daripada hadis ini, Nabi SAW menjelaskan akan bahayanya tidak menjaga batas pergaulan dengan ipar duai. Nabi SAW menyebut perkataan maut dengan maksud kerosakan yang membinasakan sesebuah keluarga jika batasnya tidak dijaga. Auratnya juga wajib ditutup sebagaimana jika Muslimah ini keluar daripada rumah. Ipar duai hanyalah mahram sementara sebagaimana yang telah dijelaskan.

🌹Banyak mudarat Antara ayat al-Quran yang melarang ikhtilat ini ialah firman ALLAH yang bermaksud: "Dan apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka (isteri-isteri Nabi SAW) maka mintalah daripada balik tabir." (Surah Al-Ahzab: 53) , ini menunjukkan larangan ikhtilat dan percampuran bebas di antara lelaki dan perempuan, jika ikhtilat dibenarkan nescaya ia tidak perlu kepada balik tabir dalam urusan tersebut.Selain itu, ikhtilat turut dinyatakan dalam Sahih Al-Bukhari bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian (khalwat) dengan seorang perempuan, dan janganlah seorang perempuan bermusafir melainkan bersama dengan mahramnya." "Hadis ini menunjukkan larangan ikhtilat di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

🌹Jika tidak dijaganya akan membawa natijah yang dahsyat kepada si pelaku. "Selain itu, ikhtilat yang dilarang biasanya memudaratkan dan merosakkan hubungan sesama manusia lantas menyebabkan pergaduhan dan persengketaan. Mahukah kalian jika adik beradik bermasam muka hanya kerana kamu tidak menjaga batasan pergaulan yang disyariat?," katanya.

                 🍀     Solusi terbaik 🍀

🌹Antara penyelesaian kepada persoalan ikhtilat ini ialah kemestian setiap individu Muslim memahami ajaran agama Islam dengan sebaiknya dengan mengetahui hukum-hakam yang berkaitan dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ia sebenarnya telah dijelaskan dalam ayat suci al-Quran dan as-Sunnah, maka kita sewajarnya merujuk kepada huraiannya dalam mana-mana kitab tafsir yang muktabar serta syarah (huraian) kepada as-Sunnah yang diktiraf oleh golongan ulama.

🌹Ini kerana terdapat dalam kitab-kitab fikah secara berasingan, sebahagiannya ada dalam bab menutup aurat yang terdapat dalam tajuk syarat sah solat, sebahagian yang lain pula ada dalam tajuk perkara yang membatalkan wuduk, dan terdapat juga dalam tajuk sirah nabawiyah (sejarah Nabi SAW). Oleh itu, setiap kita berperanan untuk sentiasa menambahkan ilmu. Selain itu, pihak yang berautoriti juga mesti berperanan untuk mengangkat persoalan ini menjadi wacana masyarakat hingga menjadi perbahasan umum agar timbul kesedaran dan komitmen yang sewajarnya.

🌹Jika berjaya menjadi wacana masyarakat di peringkat nasional, maka ia bakal menjadi ilmu yang tersebar yang akhirnya menjadi praktis masyarakat agar dapat mencapai kemakmuran hidup berteraskan Islam. Itulah yang kita ingin dan mahu!..

1 comment:

  1. ASSALAMUALAIKUM, ZAMAN DAH TERLALU MODEN, TAK BERJUMPA DI ALAM NYATA PUN , BOLEH JUMPA ATAU CHATTING LALU MEDIA ELECTRONIC, WASSAP CONTOHNYA.APA HUKUMNYA, IPAR LAIN JANTINA, SUKA- SUKA WASSAP SECARA PERSONAL DENGAN NIAT UNTUK SUKA2 SEPERTI BERGURAU, MENGUSIK DAN BERMAIN PERASAAN?

    ReplyDelete