("Masjid Terjauh") atau juga dikenali sebagai Al-Aqsa merupakan salah satu tempat suci agama Islam yang menjadi sebahagian daripada kompleks bangunan keagamaan di Kota Lama Baitulmuqaddis (Baitulmuqaddis Timur). Kompleks bangunan tersebut (bersama dengan bangunan Kubah Batu) dikenali oleh umat Islam sebagai Al Haram Al Sharif atau "tanah suci yang mulia"dan oleh orang Yahudi dan Kristian sebagai Kuil Suci, yang dipercayai di mana Kuli Pertama dan Kuil Kedua pernah terletak.
Menurut kepercayaan para Muslim, Nabi Muhammad dibawa dari Masjid al-Haram di Makkah ke masjid ini sebelum diangkat ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha) dalam peristiwa Israk Mikraj. Kitab-kitab hadis menjelaskan bahawa Muhammad mengajarkan umatnya untuk menghadap kiblat ke Masjid al-Aqsa ketika bersembahyang selama 17 bulan selepas penghijrahan. Setelah, wahyu diturunkan (Surah al-Baqarah ayat 148), kiblat tersebut dihadapkan ke Masjid al-Haram sehinggalah sekarang.
Pengertian Masjid Al-Aqsa pada peristiwa Israk dan Mikraj dalam Al-Quran (Surah Al-Israk ayat 1) meliputi seluruh kawasan Al-Haram Asy-Syarif. Hari ini, Kota Lama di Baitulmuqaddis adalah di bawah penguasaan Israel, tetapi masjid kekal di bawah pentadbiran Waqaf Islam Jordan/Palestin.
"Masjid al-Aqsa" bermaksud "masjid paling jauh", dan ia diambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj, satu periwayatan Muslim tentang perjalanan Nabi Muhammad SAW yang berlangsung pada tahun 621 M. Berdasarkan pada ayat al-Quran, Nabi Muhammad melakukan perjalanan dengan menaiki Buraq dari Masjidil Haram (di Makkah, selatan Arab Saudi) sehingga ke "masjid yang paling jauh" iaitu Masjid al-Aqsa, dan dari satu batu di sana, Baginda menaiki Buraq dan kemudiannya naik ke langit, ditemankan oleh malaikat Jibril, dan menghabiskan masa menjelajah langit dan menerima wahyu mewajibkan solat sebelum kembali ke bumi dan berkomunikasi dengan orang-orang yang beriman.
Lokasi "masjid paling jauh" tidak dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, tetapi ia berkait rapat dengan Baitulmuqaddis, walaupun Baitulmuqaddis tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran. Sebuah masjid kayu pada asalnya dibina di sini oleh Saidina Umar Al-Khatab, khalifah kedua Islam pada tahun 638M. Selepas pembinaan Qubbat As-Sakhrah, Khalifah Abdul Malik ibni Marwan mengarahkan supaya dibina sebuah masjid bagi mengantikan masjid yang sedia ada. Anaknya Al Walid ibni Abdul Malik menyiapkan pembinaan masjid ini semasa pemerintahannya pada 705M. Masjid ini harus tidak dikelirukan dengan keseluruhan kawasan ini yang juga dikenali sebagai Masjid Al-Aqsa Al Haram Al Sharif. Setiap inci kawasan ini amat suci dan tidak boleh dirundingkan.
No comments:
Post a Comment