Tuesday, 20 March 2018

"AKU TAK SOLAT TAPI HIDUP AKU SENANG"

ISTIDRAJ adalah situasi di mana Allah mengurniakan rezeki berlimpah ruah sedangkan kita masih melakukan maksiat pada Allah.

Antara ciri-ciri orang yang istidraj :
1. Sengaja meninggalkan solat.
2. Sengaja meninggalkan puasa.
3. Tidak ada perasaan berdosa ketika bermaksiat dan membuka aurat.
4. Berat untuk bersedekah
5. Merasa bangga dengan apa yang dimiliki.
6. Mengabaikan semua atau mungkin sebahagian perintah Allah.
7. Menganggap mudah perintah- perintah Allah. 8. Merasa umurnya panjang dan menunda-nunda taubat.
9. Tidak mau menuntut ilmu
10. Lupa akan kematian.

Tetapi Allah tetap memberikan kita :
1.  Harta yang berlimpah.
2.  Kesenangan terus menerus.
3.  Dikagumi dan dipuja puji banyak orang.
4.  Tidak pernah diberikan sakit.            
5.  Tidak pernah diberikan musibah.
6.  Hidupnya aman-aman saja. Hati-hati… Ini kerana Allah telah membiarkan kita lalai dengan dunia dan menundakan hukuman atas maksiat yang kita lakukan didunia ini.

Jangan berasa terlalu senang dan, tenteram dengan hidup kita saat ini,seolah-olah hidup kita penuh berkat dari Allah. Lihat dan muhasabah diri kita.. Bila semua kesenangan yang Allah berikan pada kita hanya membuat kita semakin jauh dari Allah dan melupakan segala perintahNya, berwasapadalah. Bimbang Allah memberikan kurniaanNya dengan murka.


Dari Ubah bin Amir radhiallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, إِذَا رَأَيْتَ اللَّهَ تَعَالى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَايُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنْهُ اسْتِدْرَاجٌ “Apabila Anda melihat Allah memberikan kenikmatan dunia kepada seorang hamba, sementara dia masih bergelimang dengan maksiat, maka itu hakikatnya adalah istidraj dari Allah.”


Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam membaca firman Allah, فَلَمَّا نَسُوامَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَاعَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ “Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (QS. Al-An’am: 44) (HR. Ahmad, no.17349, Thabrani dalam Al-Kabir, no.913, dan disahihkan Al-Albani dalam As-Shahihah, no. 414). Semoga kita dilindungiNya daripada Istidraj dan sentiasa taat pada perintah Allah.

MAKSUD ISTIDRAJ

Maksud Istidraj  adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi) Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.


Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam. Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.



Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka. Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah. Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan.



Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.



Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap.



Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt. Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia. Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim.



Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur.



Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah.


Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj.

Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.


Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.


Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Monday, 19 March 2018

MAHRAM DAN BATAS-BATAS AURAT

Mahram & Batas-batas Aurat

Mahram (Bahasa Arab: محرم ), ertinya yang diharamkan. Lelaki dan perempuan yang dilarang (haram) berkahwin.
Ianya terbahagi kepada dua larangan iaitu :-

1.Larangan kekal (Muabbad)
2.Larangan sementara (Muaqqat)

Larangan kekal (Muabbad) ialah larangan untuk selama-lamanya disebabkan oleh tiga perkara iaitu pertalian darah, susuan, atau perkahwinan. Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). (Surah An-Nisaa’ : Ayat 22)

Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut):
•ibu-ibu kamu, dan
•anak-anak kamu, dan
•saudara-saudara kamu, dan
•saudara-saudara bapa kamu, dan
•saudara-saudara ibu kamu dan
•anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan
•anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan •ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan •saudara-saudara susuan kamu, dan
•ibu-ibu isteri kamu, dan
•anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).
•Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.
•Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nisaa’ : Ayat 23)

Larangan sementara (Muaqqat) :

Larangan Muaqqat ialah larangan untuk tempoh masa atau keadaan tertentu. Apabila keadaan berubah, hukum larangan itu pun terbatal. Mahram muaqqat ini terdiri dari :

1.Adik ipar atau kakak ipar.
2.Isteri kepada bapa saudara (emak saudara "sabit"). Seorang lelaki diharamkan mengahwini adik atau kakak kepada isterinya (iparnya) selagi mana isterinya masih ada. Melainkan selepas berpisah dengan isterinya. Walaupun begitu, batas pergaulan dengan Mahram sementara (Muaqqat) sama seperti hukum dengan bukan Mahram. Termasuk bukan Mahram ialah sepupu(anak kepada emak/bapa saudara), walaupun ia seperti berada dalam senarai pertalian darah. Wajib menjaga keseluruhan aurat semasa berada di hadapan bukan Mahram. Tidak boleh bersentuhan atau bersalaman dengannya. Sering kita mengungkap perkataan muhrim dan mahram tanpa tahu makna sebenarnya dengan jelas.

Di sini saya paparkan makna kedua-duanya.

Muhrim adalah perkataan Arab. Ia membawa maksud orang yang sedang melakukan ihram haji ataupun umrah. Orang ini dilarang melakukan beberapa perkara sepanjang menunaikan kedua-dua ibadat ini sebagaimana yang banyak didperkatakan di dalam kitab-kitab feqah.

Mahram pula bermaksud orang yang haram berkahwin dengan kita seperti adik kita, emak mertua kita dan lain-lain. Ramai orang silap memahami penggunaan perkataan antara muhrim dan mahram. Kadang-kadang mereka mahu menyebut mahram tetapi mereka tersebut perkataan muhrim. Dengan penjelasan ini diharapkan masyarakat kita akan faham apa itu muhrim dan apa itu mahram.

BATAS-BATAS AURAT

Aurat wanita Islam yang wajib ditutup supaya tidak dilihat lelaki yang bukan mahram dan juga wanita yang bukan muslim ialah seluruh badannya, kecuali muka, dua tangan dan dua tapak kaki menurut sesetengah pendapat. Selain itu, ada lagi pendapat yang agak keras iaitu wanita dikehendaki menutup seluruh badan termasuk muka, dua tangan dan kaki, kecuali sebelah mata kiri sahaja yang harus dibuka bagi keperluan bergerak ke sana sini. Bagi memenuhi keperluan ini, mereka perlu memakai pakaian seperti niqab yang menutup muka, di samping jilbab yang biasa dipakai wanita.

Ini adalah pendapat yang mahsyur dalam mazhab Syafie. Secara ringkas, batas-batas aurat ialah seperti di bawah ni:

1. Aurat lelaki dengan lelaki dan lelaki dengan perempuan yang ajnabi ialah antara pusat dan lutut. Sebaik-baiknya hendaklah menutup anggota tubuh badan supaya nampak lebih sopan.
2. Aurat perempuan dengan perempuan Islam ialah antara pusat dan lutut manakala aurat perempuan dengan perempuan yang bukan Islam adalah seperti aurat perempuan dengan lelaki yang ajnabi (lelaki yang boleh dikahwini) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan Siapa yang boleh tengok aurat seseorang wanita ?

Berdasarkan ayat 31 Surah an-Nur kat atas tu. Mereka ialah:

1.Suami
2.Ayah kandung
3.Ayah mertua
4.Anak-anak lelaki kandung
5.Anak-anak lelaki tiri
6.Abang atau adik lelaki
7.Anak-anak saudara yang lelaki
8.Wanita-wanita Islam
9.Pembantu yang dimiliki (zaman dulu ada khadam tak boleh disamakan dengan pembantu rumah zaman sekarang.)
10.Pembantu-pembantu lelaki yang tiada nafsu lagi.
11.Kanak-kanak yang belum mengerti pasal aurat. (Kalau dia tahu beza, wajib tutup aurat). Aurat antara ipar duai serta sepupu sama seperti aurat dengan bukan mahram.
Berkenaan sepupu pula. Mereka itu adalah ajnabi yang sah nikah dengan kita. Jadi bila berada di kalangan mereka kita kena:

1.tutup aurat sebaik-baiknya
2.haram bersentuhan seperti bersalaman, berpelukan dan seumpamanya walaupun kita sudah kenal mesra sejak kecil lagi. KECUALI jika sepupu kita itu adalah anak susuan ibu kita. Jika begitu mereka juga adalah ibarat adik-beradik sendiri dan boleh melihat aurat kita.

BAPA SAUDARA SABIT / IBU SAUDARA SABIT : Iaitu suami kepada mak saudara atau isteri kepada ayah saudara, sama ada sebelah ibu atau sebelah ayah. Dia juga bukan mahram kita. Jadi aurat tetap kena jaga dengan sempurna. Rambut (bagi muslimah) dia tak boleh lihat. Tubuh badan juga sejak akil baligh, mestilah dilindungi dengan pakaian menutup aurat dari pandangannya. TAPI, jika kita ni anak susuan mak saudara kita tu, maka bapa saudara sabit tadi telah menjadi bapa susuan kita. Hukumnya kini, dia seperti bapa kandung kita.

BATAS-BATAS AURAT DALAM ISLAM

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد


Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban.
Manakala dari segi istilah Syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup. Jadi, aurat bermaksud bahagia-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

AURAT KETIKA BERSENDIRIAN
1. Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya.”
2. Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya.”

BATAS-BATAS AURAT LELAKI

Rasulullah SAW bersabda: عنِ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ)) [صحيح مسلم] Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” [HR Muslim].

Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau batas aurat lelaki ini;
1. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”. Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-masing adalah MAKRUH.
2. Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpendapat: “Aurat lelaki ada dua keadaan:
(1) Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
(2) Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya. Auratnya adalah seluruh tubuh badannya.   

BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI
Para Ulama’ bersepakat berpendapat bawah aurat perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadith. Firman Allah SWT: {وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ} Maksudnya: “{Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada}.” [An-Nur: 31]. Firman Allah SWT {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا} الأحزاب (59) Maksudnya: “{Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan.

Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}.” [Al-Ahzab: 59]. Firman Allah lagi: {وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ} الأحزاب (53) Yang bermaksud: “{Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …}” [Al-Ahzab: 53] Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebut riwayat dari Ibn Syihab dari ’Urwah dan dari Aishah, R.anha berkata: “Semoga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur, mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”. [Tafsir Ibn Kathir juz 3 halaman 284] HR Abu Daud daripada Saidatina Aisyah Radhiyallahu ‘anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang).

Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).”

BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB:
Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah;
1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (HR Al-Bazar dan At-Tirmizi).
2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya (ajnabi) auratnya adalah seluruh tubuh badan. Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram).

Perbezaan pendapat;
1. MAZHAB SYAFI’IE: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.
b) Qaul kedua: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).

2. MAZHAB HAMBALI: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

3. MAZHAB HANAFI: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.

4. MAZHAB MALIKI: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA.
1. Bapa sendiri ( bapa kandung).
2. Bapa suami (bapa mertua).
3. Anak lelaki.
4. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
5. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
6. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).
7. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).
8. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
9. Anak lelaki susuan.
10. Bapa susuan.
11. Saudara susuan.
12. Bapa saudara sususan, datuk saudara susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
13. Menantu lelaki.

DIBOLEHKAN LELAKI BUKAN MAHRAM MELIHAT AURAT WANITA DALAM BEBERAPA KEADAAN.

1. Ketika hendak meminang.
Kadar sempadan aurat yang hendak dilihat ialah muka dan kedua tapak tangan sahaja.
2. Ketika berjual beli.
3. Doktor atau tabib bertujuan mengubat.
4. Ketika hendak menjadi saksi.
5. Ketika mengajar.

Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai Muslimah samada mereka sedar atau tidak:
1) Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.
2) Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja.
3) Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian Muslimah. 4) Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang nampak telinganya, nampak lehernya, nampak rambutnya, nampak lengannya, nampak kakinya dan sebagainya.
5) Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.
6) Kainnya nipis sehingga boleh dilihat walaupun kain tersebut menutup auratnya.
7) Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri kemahsyuran, ke’glamour‘an dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya. Mudah-mudahan dengan tersenarainya beberapa hal di atas, kita mendoakan agar saudara-saudara Muslimah kita semua dapat berubah dan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya. Bukan mereka semua sengaja mahu langgar, tapi kadang-kadang akibat salah faham dan pengaruh sekeliling, maka mereka keliru dan jauh dari petunjuk agama.

Pakaian Muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak syariat Islam ialah:
1) Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan.
2) Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri perhiasan yang boleh menarik perhatian.
3) Mestilah kainnya tebal. Mestilah tidak tembus cahaya dan tidak boleh nampak anggota tubuh. 4) Mestilah longgar (tidak ketat), supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
5) Tidak berwangi-wangian.
6) Tidak menyerupai pakaian lelaki.
7) Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.
8) Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan kemasyhuran atau kesombongan.

AURAT DALAM ISLAM

AURAT DALAM ISLAM
MUKADDIMAH

Dewasa ini kita sering didedahkan di dada akhbar tentang perilaku sumbang mahram, perlakuan seks luar tabi'e dan kes rogol yang bukan sahaja melibatkan orang luar tetapi keluarga sendiri seperti bapa rogol anak,abang rogol adik kandung dan sebagainya. Kejadian "Haruan makan anak" adalah kes yang lumrah hingga tidak menimbulkan perasaan gerun,marah,simpati kepada masyarakat. Antara faktor terjadinya perkara di atas, adalah pengabaian kaum hawa dalam perkara-perkara yang melibatkan tentang aurat mereka.

Ini ditambah dengan pengaruh asing dalam dunia fesyen yang mudah mempengaruhi kaum wanita hingga meminggirkan soal-soal agama. Kita tidak menolak fesyen, tetapi garis panduan syarak perlu diletak di peringkat utama dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik yang menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini.  

PENGERTIAN AURAT

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan. Di dalam islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. Di dalam risalah ini akan diterangkan beberapa perkara yang bersangkutan dengan aurat untuk dijadikan renungan dan tatapan bersama.  

PERINTAH MENUTUP AURAT

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh allah s.w.t dalam surah al-ahzab ayat 33 yang bermaksud : "Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada allah dan rasulnya. Sesungguhnya allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai "Ahlu Bait", dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)." Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang,berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.

Dengan menutup aurat, wanita islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan. Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali.Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang,dengan itu juga akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.

Dalam hal ini allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-ahzab ayat 59 yang bermaksud : "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani."

ASAS AURAT

Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita.
Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut.
Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut.

Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya :

1. Aurat Ketika Sembahyang
Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Aurat Ketika Sendirian
Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat antara pusat dan lutut.

3. Aurat Ketika Bersama Mahram
Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri. Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tatsusila wanita terutana dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang yang tidak diingini tidak akan berlaku. Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan dapat menutup syahwat lelaki. Pakaian yang digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.  


Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu :

1.Suami
2.Ayah,termasuk datuk belah ibu dan bapa
3.Ayah mertua
4.Anak-anak lelaki termasuk cucu sama ada dari anak lelaki atau perempuan
5. Anak-anak suami Dalam perkara ini islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.
6. Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa 7. Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya
8. Anak saudara dari saudara perempuan
9. Sesama wanita sama ada kaitan keturunan atau seagama
10. Hamba sahaya
11. Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat
12. Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang telah mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.

Al-quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud : " Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".  

Imam Syafie berpendapat perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat diatas terbahagi kepada dua makna iaitu:
1. Perhiasan yang bersifat semulajadi seperti muka,pipi,mulut,mata,bibir,hidung,kaki,betis,peha dan lain-lain anggota.
2. Perhiasan seperti pakaian,alat-alat solek,cincin,rantai leher, gelang kaki dan sebagainya. Oleh itu, umat islam digalakkan mengawal diri agar tidak melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.


4.Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram Kewajipan menutup aurat dihadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.

Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami. Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.

5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir
Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya : " Tidak halal kaum wanita islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".

6. Aurat Ketika Bersama Suami
Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya. Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannya bila berhadapan dengan suaminya. Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada allah daripada malu kepada orang lain". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)  

PAKAIAN DALAM ISLAM

Dalam membicarakan soal pakaian wanita, islam tidak menetapkan pakaian tertentu tetapi wanita islam perlu mengikuti garis panduan syarak seperti berikut:
i. Pakaian itu hendaklah menutup aurat
ii. Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan. Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa rasulullah s.a.w telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Albi dan rasulullah s.a.w pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau (Usamah bin Zaid) , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya. Suatu hari rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab :" Saya telah berikan kepada isteri saya". Lalu rasulullah s.a.w bersabda kepada Usamah :" Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak digalas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)".
iii. Pakaian itu diperbuat daripada kain yang agak tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan. Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.
iv. Pakaian itu tidak berbentuk hiasan yang boleh menarik perhatian orang melihatnya.
v. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina".
vii. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik. Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita. Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran islam akan mendapat keredhaan allah s.w.t dan lelaki akan memandang mereka dengan pebuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat mereka yang pemalu dan bersopan santun.  

KESIMPULAN

Di antara tujuan berpakaian itu, ialah untuk menutupi atau melindungi bahagian-bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih pakaian yang semakin nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Justeru itu, tutuplah aurat dan berpakaianlah mengikut akhlak yang dianjurkan oleh islam.